Usaha Kerajaan Beri BR1M Perlu Dimanfaat

BR1M

SEMPORNA – Usaha kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah dengan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu dihargai kerana ia merupakan antara langkah meringankan beban rakyat.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata pemberian BR1M itu adalah langkah tepat kerajaan dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menampung keperluan sedia ada.

“Kita patut bersyukur mempunyai kerajaan yang prihatin membantu golongan berpendapatan rendah tanpa mengira umur sama ada muda sehingga warga emas, jika layak sudah pasti akan menerima BR1M ini,” katanya.

Nasir yang juga Pemangku Ketua Bahagian UMNO Semporna berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Baucar BR1M di Dewan Balai Seni Kampung Inabah Kamal di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 354 penduduk Semporna menerima baucar mereka daripada Nasir.

Menurut Nasir, selain BR1M kerajaan turut memberikan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk dimanfaatkan rakyat Malaysia khususnya Sabah.

“Terdapat pelbagai usaha kerajaan bagi meringankan beban rakyat seperti bantuan bagi fakir miskin, kurang upaya dan bantuan sara hidup nelayan selain pelbagai kemudahan prasarana dibangunkan seperti Klinik 1Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima BR1M, Jumaini Sakure, 26, teruja kerana itu merupakan BR1M yang pertama kali diperoleh sejak bantuan tersebut diperkenalkan.

Beliau yang bekerja di Ladang Segaria berhasrat mengunakan bantuan RM450 yang diterima hari ini sebagai modal menjalankan perniagaan kuih muih secara kecil-kecilan di ladang tersebut.

Bagi Noraini Tomin, 26, bantuan itu dapat meringankan bebannya membeli keperluan harian.

“Duit ini dapat digunakan untuk membeli keperluan manakala gaji kita boleh simpan, bila kita pandai urus kewangan kita boleh mendapat banyak manfaat daripada BR1M ini,” katanya. – BERNAMA

Usaha Kerajaan Beri BR1M Perlu Dimanfaat Usaha Kerajaan Beri BR1M Perlu Dimanfaat Reviewed by Admin on 14:38 Rating: 5

No comments:

loading...
Powered by Blogger.