ANAK PEREMPUAN TGNA: NAK CARI ILMU SAMPAI MANA PUN AYAH AKAN TANGGUNG..


Rindu kata-kata mutiara ayah 

LIMA hari berlalu pemergian Allahyarham, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak-anaknya mula meluahkan kerinduan terhadap kata-kata mutiara daripada ayahnya. 

Anak bongsunya, Nik Asma’ Salsabila, berkata, sepanjang hayat ayahnya itu sentiasa memberikan pesanan yang selama-lamanya akan melekat di dalam hati dan sanubari sebagai seorang Muslim.

“Ketika ini saya rindu untuk mendengar kata-kata ayah dalam ceramah- ceramah yang mempunyai maksud mendalam, perumpamaan mudah untuk difahami dan membawa kebaikan kepada diri saya sendiri dan semua.

“Di saat-saat akhir ayah tidak berpesan apa-apa, tetapi paling saya ingat dan ayah sentiasa pesan ketika hayatnya jangan tinggalkan solat, selalu berselawat dan bacalah ayat Kursi apabila keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di Pulau Melaka semalam.

Biarpun ayah tidak berbahasa puitis dengan anak-anak, namun Nik Asma’ Salsabila memberitahu tutur kata arwahlah dalam memberi nasihat paling diingati untuk pegangan hidup.

Anak ke 10 hasil perkongsian hidup Nik Aziz bersama pasangannya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak itu juga memberitahu, ayahnya itu memang mengutamakan pendidikan agama dalam diri anak-anak.

“Saya masih ingat lagi, semasa saya hendak makan di sisi ayah dan ketika itu ayah sedang membaca kitab, ayah akan berkongsi manfaat bacaannya itu kepada saya,” katanya.

Nik Asma’ Salsabila yang berusia 31 tahun dan mempunyai dua cahaya mata itu juga mengakui sebagai anak bongsu dia lebih rapat dengan arwah bekas menteri besar Kelantan itu.

“Ayah memang tegas, tetapi seorang ayah yang penyayang. Masih teringat lagi ketika zaman kanak-kanak dahulu semasa ayah pulang dan mendapati saya tidur di katilnya, ayah tidak kejutkan saya, sebaliknya ayah yang tidur di bawah,” katanya sambil tersenyum.

Katanya, bilik kedua ibu bapanya itu sangat eksklusif kerana ibunya yang dipanggil dengan panggilan mesra ‘Che’ itu sudah mendidik dari awal-awal lagi tidak boleh sewenang-wenangnya dibenarkan masuk kecuali disuruh.

“Jadi di saat begini saya teringatkan ketika Che membenarkan saya masuk, dapat tidur menggunakan selimut ayah ketika itu dan perkara sedemikian adalah saat yang paling menggembirakan,” katanya.

Tambahnya, sentiasa menjadi pegangan hidupnya apabila ayah selalu berpesan supaya jangan merumitkan keadaan dan jadikan kehidupan itu sesuatu yang mudah.

Selain itu, Nik Asma’ Salsabila berkata, ayahnya memang seorang yang gemarkan masakan kampung, namun dalam tempoh setahun kebelakangan ini arwah lebih sukakan masakan barat terutamanya spageti.

Sementara itu, kakaknya, Nik Amalina, 38, yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, arwah ayahnya itu memang menitikberatkan supaya menuntut ilmu untuk bekalan dunia dan akhirat.

“Ayah berkata, jika mahu mencari ilmu sampai mana-mana pun ayah akan tanggung tetapi kalau nak suruh bawa berjalan (bersiar-siar jauh) tidak boleh.

“Ayah adalah seorang bapa yang baik kerana didikannya boleh mematangkan anak-anak. Masa saya zaman kanak-kanak, abang belajar di Timur Tengah dan ketika itu saya masih ingat dia mahu pulang kerana peperangan, tetapi ayah tidak benarkan dan ayah berkata ‘jika mati nanti kita bertemu di syurga’,” katanya.

Katanya, bukan tidak sayangkan anak, tetapi mementingkan keluarga itu yang diajarnya, namun beliau lebih ke arah mendidik supaya boleh berdikari dalam hidup.

Berkongsi mengenai kegiatan masa lapang pula, Nik Amalina memberitahu arwah lebih suka membaca kitab dan dalam masa sama berkebun.

“Masa lapang ayah dimanfaatkan dengan membaca kitab dan ayah juga akan menerangkan kepada kami secara sejelas-jelasnya isi kandungannya secara mendalam supaya menjadi panduan hidup.

“Pernah juga saya melihat ayah berjalan sekitar kawasan dengan pakaian kebun dan ada penduduk kampung yang tergamam memerhatikannya,” 
katanya.

Kongsinya lagi, arwah ayahnya memang seorang yang garang tetapi keperibadiannya itulah menjadikan anak-anak sentiasa hormat dengannya.

“Ayah tegur benda yang memang patut ayah marah seperti baca al-Quran tidak betul. Memang ayah marah.

“Saya reda dengan pemergian ayah. Rindu memanglah sebagai anak mesti terkenangkan ayah. Apatah lagi ketika memandu mesti teringatkan ayah. Namun ketentuan Ilahi itu lah terbaik dan sebagai hambanya kita perlu menerimanya,” katanya.

Katanya, setelah pemergian ayahnya menemui Ilahi keluarga mendoakan yang terbaik demi insan banyak berjasa kepada kami. Tenang dan damailah ayah di sana.

Al-Fatihah. -SH
ANAK PEREMPUAN TGNA: NAK CARI ILMU SAMPAI MANA PUN AYAH AKAN TANGGUNG.. ANAK PEREMPUAN TGNA: NAK CARI ILMU SAMPAI MANA PUN AYAH AKAN TANGGUNG.. Reviewed by Admin on 20:52 Rating: 5

No comments:

loading...
Powered by Blogger.