Sayu, Luahan Sedih Raja Azmi Kembali Menjanda Selepas Bercerai Dengan Eddie Ghazali
KUALA LUMPUR: Produser kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman kembali bergelar janda buat kali kedua selepas disahkan bercerai talak satu oleh bekas suaminya, gitaris kumpulan CRK, Eddie Ghazali di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, tepat jam 3.07 petang, hari ini.
Raja Azmi memfailkan penceraian selepas merasakan perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan lagi selepas pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengelakkan penceraian.
Namun, akhirnya produser berusia 55 tahun ini akur dengan ketentuan Ilahi apabila perkahwinan kedua yang dibina sejak 13 Oktober tahun lalu akhirnya berkecai jua dan hanya sempat mengecap kebahagiaan selama setahun sebulan sahaja.
“Hidup harus diteruskan. Kak Mi redha dengan ketentuan Allah. Perkahwinan kedua Kak Mi gagal lagi, Kak Mi gagal menjadi isteri buat kali kedua,” katanya sebak ketika ditemui sebaik sahaja lafaz penceraian diperdengarkan di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.
Ketika ditanya mengenai punca penceraian mereka, Raja Azmi mengakui kesilapan berada daripada pihaknya yang terlupa untuk meminta izin daripada suaminya ketika keluar rumah.
“Puncanya Kak Mi keluar rumah tanpa minta izin dan ditegur secara serius oleh Eddie, sejak itu Kak Mi terluka dengan teguran itu, bila kena marah, Kak Mi terluka dan sedih sangat,” katanya lagi.
Walaupun sudah berpisah, namun Raja Azmi dan Eddie sudah berjanji akan meneruskan hubungan baik mereka sebagai seorang sahabat dan kedua-duanya juga mengatakan tidak menolak untuk rujuk semula sekiranya masih ada jodoh lagi di antara mereka.
Eddie pula ketika ditemui mengatakan dia berasa sedikit sebak dan mengalirkan air mata ketika saat mahu melafazkan cerai kerana ini merupakan pengalaman pertama kalinya berhadapan dengan penceraian.
“Susah nak cakap kerana ini melibatkan perasaan, sebab ini pertama kali saya melafazkan cerai. Sebelum ini saya bercerai mati.
“Anak-anak mengharapkan kami berbaik semula tapi abang pun tak cerita sangat pada mereka, bagi mereka asalkan ayah mereka happy,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penceraian terbabit.
Eddie turut tidak menolak ketentuan sekiranya dalam tempoh terdekat ini mereka rujuk semula sekiranya jodoh di antara mereka masih lagi kuat.
Ketika prosiding pengesahan penceraian itu, Eddie dan Raja Azmi sempat bersalaman dan berpelukan sebelum lafaz cerai dilafazkan oleh bekas gitaris berusia 46 tahun itu.
Untuk makluman, Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga dengan bintang beregu kebangsaan, Jailani Sidek namun mereka bercerai pada 27 Jun 2012 setelah 28 tahun usia perkahwinan.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 28. Puteri Suaida, 24, dan Megat Deli, 20.
Eddie pula memiliki dua orang anak bersama arwah isterinya iaitu Daniel, 23, dan Effy, 21. - MYNEWSHUB.CC
Sayu, Luahan Sedih Raja Azmi Kembali Menjanda Selepas Bercerai Dengan Eddie Ghazali
Reviewed by Admin
on
19:24
Rating:
No comments: