Dari Mentah Sampai Terhidang.. Makanan Berisiko Tercemar
SETIAP tahun Hari Kesihatan Sedunia disambut secara global pada 7 April. Di Malaysia, Melaka menjadi destinasi pilihan untuk meraikannya di peringkat kebangsaan bagi 2015.
Hari Kesihatan Sedunia merupakan hari yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengetengahkan isu kesihatan yang perlu diberikan perhatian serius.
Tema “Food Safety – from farm to plate” diketengahkan pada tahun ini bagi memberi tumpuan terhadap kepentingan memastikan keselamatan makanan yang dibekalkan kepada kira-kira 7 bilion pengguna di seluruh dunia.
Di Malaysia, beberapa insiden melibatkan keselamatan makanan hingga meragut nyawa membuatkan kerajaan kian serius dalam memastikan makanan yang dijual di pasaran tempatan termasuk yang diimport adalah selamat.
Dunia hari ini menyaksikan kawalan keselamatan makanan menjadi satu tugas yang kian mencabar disebabkan complexity penghasilan makanan.
Pencemaran boleh berlaku di sepanjang rantaian makanan bermula daripada bahan mentah hinggalah ke peringkat ia dihidangkan atas meja makan.
Tidak hanya pengguna, kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan dan industri diperlukan bagi memastikan makanan selamat dijamah.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah memainkan peranan paling efektif dalam memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian adalah terkawal daripada sebarang punca pencemaran makanan.
Antara bukti yang menyaksikan kepentingan unit ini adalah kes melibatkan buah buahan import iaitu epal jenis Gala dan Granny Smith dari California, Amerika yang telah disekat daripada memasuki Malaysia pada Januari lalu kerana disyaki dicemari bakteria Listeriosis Monocytogenes.
Selain itu, KKM telah memudahkan pengguna untuk mengenal pasti sama ada pek makanan yang dikeluarkan premis pengilangan di negara ini telah dijamin keselamatannya atau tidak, melalui beberapa pengiktirafan yang dikeluarkan di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan seperti Skim Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), Skim Pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP) dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Bagi premis outlet makanan seperti gerai, restoran, kafeteria dan medan selera pula, KKM kini memperkenalkan pengiktirafan menerusi Program Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) peringkat kebangsaan.
Justeru sebagai pengguna yang mementingkan kebersihan dan keselamatan makanan, outlet yang mempamerkan logo BeSS seharusnya menjadi pilihan anda kerana makanan disajikan di situ telah diiktiraf KKM terbukti bersih, selamat dan sihat. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Rem Ramzi
Foto/Video: Riza Razak
Foto/Video: Riza Razak
Dari Mentah Sampai Terhidang.. Makanan Berisiko Tercemar
Reviewed by Admin
on
11:06
Rating:
No comments: