Bukan Minta Puji - Fizo Omar

Fizo Omar-1
PETALING JAYA -
 Pelakon dan usahawan Fizo Omar kesal dengan segelintir pengikut laman Instagram miliknya yang mengecam tindakan dia memuat naik gambar selfie ketika dalam perjalanan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan pada Ahad lalu.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, dia berharap perbuatan itu dihentikan kerana ia tidak memberi sebarang faedah dan meminta agar mereka mendoakan kesejahteraan kepada mangsa banjir.
“Gambar selfie yang saya muat naik itu sebenarnya ingin menunjukkan keadaan di Kelantan ketika ini yang masih dalam keadaan membimbangkan dan bukannya ingin bermegah-megah.
“Apa sahaja yang kami buat selama beberapa hari ini adalah hanya kerana Allah, tidak lebih daripada itu. Apa yang boleh saya katakan, adalah lebih baik mereka mendoakan kesejahteraan mangsa banjir dan jangan keruhkan keadaan kerana ia tidak membawa sebarang makna,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Fizo ketika ini masih berada di Kota Bharu, Kelantan sebagai sukarelawan untuk membantu mengagihkan barangan bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di Kelantan.
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia dan pasukan Hot Burgers Malaysia berada di Kelantan sejak Khamis lalu untuk mengagih-agihkan makanan dan barang keperluan lain kepada mangsa banjir.
Jelas Fizo, dia dan pasukannya menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menghantar bantuan terus ke rumah mangsa yang masih terperangkap dan tidak sempat untuk diselamatkan.
“Ada yang masih terperangkap di rumah sejak banjir berlaku dan mereka ini menjadi tumpuan kami kerana kebanyakan daripada mereka sudah berhari-hari tidak makan kerana tidak boleh bergerak ke mana-mana.
“Alhamdulillah perjalanan kami untuk ke sana dipermudahkan dan kebetulan kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan membolehkan kami merentasi kawasan yang dinaiki air,” katanya.
Sementara itu, Fizo berkata, biarpun bekalan yang dia bawa untuk mangsa telah pun selesai diserahkan namun dia akan berada di negeri itu untuk beberapa hari lagi untuk membantu menghantar bekalan makanan yang tiba dari Kuala Lumpur sumbangan orang ramai dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Kata Fizo, mereka akan berulang alik dari lapangan terbang ke tempat banjir untuk menghantar barang-barang tersebut dan menyeru sesiapa yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk tampil membantu.
“Syukur Alhamdulillah masyarakat Malaysia memang amat prihatin dengan kejadian menimpa penduduk di negeri Pantai Timur dan pelbagai barang tiba di lapangan terbang untuk diagihkan.
“Atas sebab itu kami ambil keputusan untuk terus berada di sini sehingga keadaan beransur pulih dan membantu apa yang perlu,” ujarnya.
Bukan Minta Puji - Fizo Omar Bukan Minta Puji - Fizo Omar Reviewed by Admin on 11:57 Rating: 5

No comments:

loading...
Powered by Blogger.